ULASAN Dewan Pemuda PAS Malaysia
(DPPM) melihat cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah, Johor dari
Umno Datuk Ayub Rahmat untuk menjadikan Johor sebagai sebuah negeri pertama yang
melaksanakan hukum hudud membuktikan bahawa perjuangan PAS selama ini terbukti
benar.
DPPM melihat cadangan Datuk Ayub Rahmat ini adalah cadangan yang
baik dan wajar disahut oleh semua umat Islam. Seharusnya Datuk Ayub sedari
bahawa cadangan beliau adalah usaha perjuangan PAS sejak awal penubuhannya.
Mungkin baru hari ini beliau faham bahawa perjuangan menegakkan syariat Islam
adalah kewajipan setiap pemerintahan Islam untuk laksanakannya, dan ia bukan isu
politik kepartian semata-mata.
Mungkin juga beliau baru menyedari bahawa dengan usaha inilah PAS semakin
diterima baik oleh segenap masyarakat tanpa mengira kaum sehingga bukan Islam
turut menerima dan menghormati pendirian PAS.
Jika dakwaan Umno selama
ini bahawa PAS berjuang menegakkan syariat Islam secara ‘versi PAS’, inilah
masanya Umno pula membuktikan perjuangan Islam mengikut syariat Islam yang
sebenar.
Elok juga Umno tunjukkan bagaimana syariat Islam mengikut Al Qur’an dan
Sunnah Rasulullah SAW supaya PAS boleh jadikan panduan kerana PAS sentiasa
bersedia menerima teguran jika ada kaedah sebenar pelaksanaannya tidak tepat
sebagaimana dakwaan Umno.
Apabila Umno juga sudah mula bercakap soal
hudud, ini membuktikan dakwah PAS sudah sampai sehingga ke relung jantung ahli
dan pemimpin Umno. Terbukti, perjuangan mendaulatkan Islam yang diperjuangkan
oleh PAS bukan omongan kosong dan juga perjuangan sia-sia.
Sebaliknya
syariat Islam pasti akan diberi kemenangan oleh Allah SWT meskipun pelbagai
halangan yang telah dan sedang menimpa. DPPM bergembira kerana Datuk Ayub sedar
bahawa perjuangan menegakkan Islam sedang meniti kejayaan di mana-mana negara
termasuk di negara ini, dan DPPM bersedia memberikan kerjasama sekiranya benar
cadangan ini untuk dilaksanakan.
Adalah diharapkan ucapan Datuk Ayub ini
adalah lahir dari nuraninya sendiri yang ikhlas dan insaf dengan melihat syariat
Islam sebagai penyelesai masalah kebejatan sosial serta jenayah yang semakin
berleluasa di negara ini.
Ucapan ini diharapkan bukan bermotif politik
sempit semata-mata yang merasakan Umno sudah kehilangan sokongan rakyat, justeru
terpaksa beralih kepada isu tertentu bagi meraih simpati orang Melayu dan umat
Islam di negara ini.
Soalnya, adakah cadangan ini pula akan disambut baik oleh kepemimpinan
tertinggi Umno atau hanya sekadar satu lagi ilusi yang akhirnya akan dibakul
sampahkan kelak.
RIDUAN MOHD NOR adalah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia









0 comments:
Post a Comment