DULU HARAMJADAH KINI MUKA TAK MALU

PARA peneroka yang membantah penyenaraian saham Felda Global Venture Holdings (FGVH) ke Bursa Malaysia sekali lagi menjadi sasaran cacian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.
Jika pada satu ketika dulu Najib memaki hamun peneroka-peneroka tersebut sebagai haramjadah, dalam lawatannya ke Felda Chini hari ini beliau menyifatkan peneroka tersebut mereka sebagai ‘muka tak malu’ kerana mengambil durian runtuh hasil penyenaraian itu.

Ahli Parlimen Pekan itu turut mengcop peneroka-peneroka berkenaan sebagai pengkhianat kerana cuba menghalang niat kerajaan yang mahu mentransformasi serta memartabatkan peneroka Felda di peringkat global.

“Mereka cuba mengkhianati hasrat kita untuk membela masyarakat Felda. Cuba halang tapi bila kita hulur, dia tidak malu-malu menerpa ke hadapan untuk terima durian runtuh, ini termasuklah yang membuat injunksi, tak malu dan tak tersipu-sipu datang ambil,” laungnya dalam nada menyindir.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran Mini MAHA Pekan 2012 di hadapan kira-kira 10,000 peneroka di Dataran Shahbandar, Bandar Dara, Chini semalam.

Umum mengetahui, di sebalik penyenaraian tersebut bukan peneroka yang hanya diberikan 800 unit saham yang untung, tetapi Pengerusi Felda yang sedang hebat dipertikaikan yang mengaut durian runtuh sebenar iaitu Tan Sri Isa Samad, yang dianugerahkan sebanyak 180,000 unit saham.

Begitu jugalah dengan Pengerusi FGVH Datuk Sabri Ahmad. Barangkali Najib tidak sedar, peneroka-peneroka Umno juga turut mempersoalkan kenapa mereka diberi jumlah saham yang sangat kecil sehingga tidak padan untuk menjadi kaya raya sebagaimana diisytiharkan.

Sudahlah hanya diperuntukan tidak sampai satu lot (1,000 unit) saham bagi membolehkan mereka berjual beli, peneroka dipaksa pula berhutang dengan mengisi borang pinjaman yang tidak tahu berapa jumlahnya yang sebenar.

Sebaliknya Najib dengan bangganya pada majlis tersebut menguar-uarkan bahawa transformasi sedang dan akan terus berlaku kepada komuniti Felda dengan penyenaraian FGVH di Bursa Saham baru-baru ini.

“Siapa dapat bayangkan FGVH apabila disenaraikan mencatat sejarah dunia, bukan di Chini kerana kini ia menjadi tawaran awam permulan (IPO) yang kedua terbesar di dunia selepas saham Facebook,” katanya.

Najib bercakap besar dengan penyenaraian tersebut namun pada hakikatnya terpaksa menyandarkan ratusan ribu ekar Tanah Rizab Melayu yang dipajak oleh kerajaan-kerajaan negeri kepada FGVH. Jadi tidak boleh dipersalahkan kepada peneroka jika mereka menentang kerana apabila tanah-tanah milik Melayu tersebut diniagakan di pasaran saham, bermakna sesiapa sahaja boleh membelinya termasuk pemain-pemain saham luar.

Itupun, nasib baiklah FGVH gagal mengheret Koperasi Permodalan Felda (KPF) setelah dilakukan oleh injunksi oleh peneroka.

Sayugia diingat peneroka telah membangunkan tanah Felda daripada hutan belantara sejak setengah abad yang lalu dengan titisan keringat, darah dan air mata maka sudah tentu mereka tidak ingin hak mereka tergadai di depan mata.

Sebagai mana diketahui, tidak ada yang percuma bagi peneroka yang memasuki tanah rancangan. Baik tanah ladang mahupun rumah, baja dan racun, jalan ladang, pinjaman sara hidup hinggalah kepada kereta tolak dan sarung tangan, semuanya dikira hutang, dicaj dan dipotong melalui hasil yang dihantar ke kilang.

Mungkin ada pemimpin Umno yang mengungkit, jika tanpa tanah Felda 112,000 peneroka seluruh negara tidak bertanah. Namun semua itu didapati bukannya secara percuma. Malah hasil penat jerih komuniti tersebutlah Felda muncul menjadi estet terbesar di dunia dan mengaut hasil kedua terbesar untuk negara selepas Petronas.

Ulasan

Catatan Popular