Pemuda PAS: Putrajaya perlu serius bendung usaha pesong akidah umat Islam

KUALA LUMPUR, 8 Ogos — Tegas mempertahankan pendirian kepimpinan tertinggi PAS dalam isu serbuan ke atas sebuah gereja minggu lalu, sayap pemuda parti Islam itu menggesa Putrajaya untuk mengambil langkah proaktif untuk memastikan umat Islam tidak terpesong akidah dan murtad.


Ketuanya Nasrudin Hassan berkata, Putrajaya melalui agensi-agensi agama perlu menjaga kebajikan dan keperluan asas umat Islam yang miskin dengan menyalurkan bantuan yang sepatutnya.

“Kerajaan yang memerintah mesti mengambil langkah yang lebih tegas untuk memastikan tiada aktiviti mungkar dan maksiat yang menghela ke arah rosaknya keperibadian umat Islam dan lunturnya nilai keimanan mereka dengan menjaga kebajikan dan keperluan asas rakyat dengan meletakkan agensi-agensi tertentu seperti Pusat Pungutan Zakat dapat berorientasi dengan lebih berkesan.

“Bukan hanya memungut zakat tetapi cepat dan cekap mengagihkannya kepada asnaf yang berhak menerimanya. Begitulah Baitulmal, Pusat Kebajikan Masyarakat dan lain-lain agensi yang berkaitan. Jangan ghairah membeli lampu kristal, carpet tebal dan khat hiasan dinding masjid yang mencecah ratusan ribu dan jutaan ringgit tetapi masih ada ummat Islam yang terpaksa menadah tangan di pintu gereja,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Nasrudin, selain agens-agensi agama umat Islam juga perlu memikul tanggungjawab untuk membantu masalah yang melibatkan penganut agama itu.

“Tanggungjawab ini mesti dipikul oleh semua orang Islam dan pemimpinnya justeru ia melibatkan masalah umat Islam. Umat Islam mesti bersatu di bawah payung aqidah ini dan memastikan tiada ruang retak dan bocor sebagai laluan dan peluang musuh Islam menyelinap masuk meruntuhkan struktur kekuatan umat Islam dari dalam.

“Justeru harga akidah umat Islam tidak boleh dibayar dengan nilai sebuah atau lebih kerusi Parlimen mahu pun DUN (Dewan Undangan Negeri), demikian juga tidak boleh ditebus dengan nilai jawatan bertaraf menteri atau wakil rakyat sebaliknya nilai akidah, taruhannya ialah darah dan nyawa,” katanya.

Bagaimanapun beliau percaya isu serbuan ke atas gereja itu akan dieksploitasikan sesetengan pihak yang mahu menagih politik murahan untuk mengalih punca kepada polemik itu.

“Ringkasnya pendirian Pemuda PAS adalah kami konsisten berjuang untuk menegak dan memelihara aqidah Islamiyah dan dalam masa yang sama, kami menghormati hak bukan Islam sebagaimana yang telah diajar oleh syariat Islam itu sendiri.

“Kami menasihati dan memberi peringatan tegas kepada semua pihak agar akidah umat Islam, pemikiran dan akhlak mereka jangan diganggu dan dirosakkan dengan pelbagai dakyah, aktiviti dan gerakan sama ada bersifat terbuka dalam aktiviti sosial atau sembunyi di sebalik badan-badan bukan kerajaan,” katanya.

Nasrudin juga menegaskan semua negeri harus mengambil pendekatan berkesan untuk membantu rakyat.

“Jangan kerana miskin, akhirnya mereka menjadi murtad kerana menagih simpati dan bergantung harap kepada pihak yang mengambil kesempatan untuk merosakkan pegangan agamanya,” katanya.

Ulasan

Catatan Popular