DPPWP DESAK BN JELASKAN KENAIKAN MINYAK & GULA BERTURUT-TURUT

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mendesak Kerajaan BN memberikan penjelasan berhubung rasional kenaikan harga minyak (5 Mei) dan gula (10 Mei) berturut-turut dalam tempoh 5 hari dalam bulan ini melibatkan kenaikan sebanyak 20 sen bagi setiap barang pengguna ini. Malah Ron 97 yang baru dinaikan 1 April baru-baru ini naik lagi pada 5 Mei 2011. Ini diluar kebiasaan Kerajaan. DPPWP melahirkan rasa kesal kerana Kerajaan BN gagal memberikan penjelasan terperinci berhubung kedudukan ekonomi semasa dan kewangan negara yang menyebabkan kerajaan perlu menaikan harga kedua-dua barang ini.

Agak kelam kabut dan seperti terdesak Kerajaan BN menaikan harga barang pengguna ini selepas Pilihanraya Sarawak April yang lepas. DPPWP mahu Kerajaan BN perjelaskan pada rakyat jumlah kos tambahan pengendalian Pilihanraya berkenaan dan jumlah dana yang digunakan atas nama kerajaan ketika Menteri-menteri Kabinet BN turun berkempen selain RM 50 juta yang diperuntukan kepada Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia sehingga menyebabkan kenaikan harga barang pengguna secara tiba-tiba ini.

DPPWP yakin yang kerajaan BN kini terdesak untuk mengukuhkan dana persiapan Pilihanraya untuk terus mengekalkan kuasa sedangkan pada masa ini kantung kewangan negara begitu terhad. Program rasionalisasi dan penyelarasan subsidi tidak wajar dilakukan pada saat ini kerana ekonomi negara belum cukup stabil dan kadar pendapatan rakyat belum bertambah.

Sambutan 1 Mei baru-baru ini begitu hambar kerana Kerajaan BN belum berani mengeluarkan ketetapan dan dasar rasmi untuk mendesak sektor swasta menaikan gaji kakitangan mereka ke paras yang sepatutnya. Takuk pendapatan rakyat masih lagi rendah sedangkan pesta naik harga pula sudah digendangkan oleh Kerajaan BN. Sepatutnya sebelum kenaikan harga barang diumumkan, kerajaan perlu selesaikan masalah pendapatan rakyat. Jurang pendapatan yang kaya dan miskin masih jauh.

Tidak logik mengunapakai alasan bahawa harga minyak dan gula di Malaysia lebih rendah berbanding negara jiran tanpa melihat kadar pendapatan dinegara jiran kita seperti Singapura dan Thailand yang agak tinggi pada masa ini. Memang logik kalau pendapatan rakyat meningkat dan harga barang meningkat, tetapi bukan seperti situasi di Malaysia yang mana harga barang sahaja meningkat.

Jika rasional kenaikan minyak Ron 97 hingga menjadikan harganya RM 2.90 adalah kerana minyak itu untuk orang yang kaya dan Ron 95 dikekalkan harga kerana ianya adalah untuk kegunaan rakyat yang berpendapat sederhana ke bawah, apa pula rasional untuk kenaikan harga gula kepada RM 2.30 yang digunakan oleh mereka yang kaya dan miskin. Kenapa Kerajaan BN terus mendesak kenaikan harga pasaran dengan melepaskan beban subsidi kepada rakyat untuk membayarnya.

Adakah BN berdendam dengan rakyat yang menghadiah beberapa negeri kepada Pakatan Rakyat pada 2008 dan memberikan beberapa kerusi baru kepada Pakatan dalam Pilihanraya Negeri Sarawak baru-baru ini.

DPPWP juga menyelar BN dan media mereka yang sengaja memainkan isu Video Seks dan Kristian sebagai agama rasmi bagi mengalihkan kerisauan dan tumpuan rakyat dari memikirkan isu kenaikan harga barang ini. DPPWP tetap yakin rakyat Malaysia yang bijak akan terus membuka mata. Rakyat melihat BN yang memerintah hari ini semakin tidak releven. Pemimpin BN hanya pandai memporak perandakan negara dengan isu-isu tidak bermoral dan sentimen agama untuk tujuan politik. Kepimpinan BN sudah kehabisan modal akal untuk mentadbir ekonomi negara, dan sudah sampai masanya rakyat bangkit membuat perubahan sebelum rakyat terus di kambing hitamkan dengan pelbagai dasar tranformasi retorik dan plastik hari ini.

PAS ganti Umno, Pakatan Rakyat ganti BN untuk kesejahteraan rakyat.

Ulasan

Catatan Popular