SIMPAN SEGALA PAHAT NGAN TUKUL : NIK AZIZ

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menganggap pelantikan Tuanku Muhammad Faris Petra ibni Sultan Ismail Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru dapat menyelesaikan kemelut istana negeri ini.

Sehubungan itu, beliau meminta segenap lapisan rakyat Kelantan tanpa mengira bangsa, agar mendoakan semoga negeri ini selamat zahir dan batin serta dunia dan akhirat.

Berikutan pemasyhuran itu juga, beliau tidak mahu ada lagi pihak yang mengungkit isu pelantikan Sultan Kelantan setelah Tuanku Ismail Petra gering sejak lebih setahun yang lalu, seperti kata pepatah “rumah siap pahat berbunyi”.

“Sekiranya ada lagi tukul dan pahat-pahat berbunyi, kita harap simpan dalam peti masing-masing,” katanya kepada pemberita di Istana Negeri, Kubang Kerian di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis penghadapan dan penyerahan watikah pemasyhuran Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru.

Nik Aziz (gambar), yang juga Mursyidul Am PAS, berkata selama lebih setahun beliau menghadapi masalah untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai kemelut yang melanda istana Kelantan kerana beliau amat menghormati institusi itu.

Ulasan

Catatan Popular