GADIS NYARIS DICABUL DI MASJID

GUA MUSANG - Seorang gadis berusia 22 tahun nyaris menjadi mangsa rogol seorang bekas banduan dipercayai menggunakan taktik pukau sebelum memperdaya mangsa kononnya terkena buatan orang.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, gadis terbabit yang baru selesai bertugas di sebuah kedai 24 jam di bandar Gua Musang, dihampiri lelaki berusia 30-an itu memaklumkan dia terkena buatan orang sebelum menawarkan diri untuk membantu.
Gadis itu kemudian diperdaya lelaki berkenaan ke masjid berdekatan kononnya untuk mengubatinya.

Bagaimanapun, perbuatan lelaki berasal dari Marang, Terengganu itu dikesan sepasukan Skuad Amru bersama penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) yang menyerbu masjid berkenaan selepas menerima maklumat orang ramai mengatakan ada pasangan berkhalwat di situ.

Pegawai Agama Jajahan Gua Musang, Anuar Hashim berkata, sebaik tiba di lokasi, lelaki terbabit sedang menjampi sesuatu sambil memegang bahu gadis itu.

Katanya, gadis itu kelihatan bingung dalam tandas masjid yang tidak berkunci.

“Sebaik tiba, kami dapati lelaki berkenaan sedang menjampi gadis itu dan air jampi diletakkan di atas lantai.

“Kami membuat serbuan kerana menerima maklumat orang ramai mengatakan ada pasangan berkhalwat namun lain pula berlaku,” katanya.

Anuar berkata sebelum kejadian suspek dikatakan bertemu gadis itu kira-kira jam 7 pagi dan meminta wang RM50 dengan alasan untuk meminjam sementara.

Katanya, dalam tempoh 10 minit, lelaki itu memperdaya mangsa sebelum mereka beredar ke masjid.

“Sebaik tiba di masjid, lelaki itu sekali lagi meminta wang RM270 bersama telefon bimbit mangsa sebelum mengajaknya ke tandas untuk dijampi bagi membuang buatan orang,” katanya.

“Apabila kami tiba, gadis itu dalam keadaan bingung dan lelaki terbabit mengaku mengambil wang RM320 bersama telefon bimbit dan berjanji memulangkan semula dalam tiga hari,” katanya.

Katanya, kedua-duanya dibawa ke Pejabat Agama Jajahan untuk siasatan lanjut dan lelaki itu juga mengaku dua kali dipenjarakan di Kedah kerana kesalahan cabul. pada 2001 dan 2006.

Ulasan

Catatan Popular