UNDANG2 1 MALAYSIA : HUKUMAN PENJARA UNTUK ORANG MISKIN SAHAJA

Hukuman penjara sebulan yang dikenakan ke atas Ahli Parlimen Kinabatangan BN Datuk Bung Moktar Radin kerana berpoligami tanpa kebenaran dibatalkan dan digantikan dengan denda RM1,000.


Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengumumkan keputusan itu pagi ini selepas mendengar rayuan Bung Moktar yang juga Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC).

Bung Moktar, 51, yang bernikah dengan pelakon Zizie Izette A. Samad, 31, sebagai isteri kedua, memfailkan rayuan itu 25 Mei lepas bagi memohon supaya hukuman terhadapnya diringankan kepada hukuman denda.

Pada 19 Mei lepas, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur menjatuhkan hukuman tersebut selepas beliau mengaku berpoligami tanpa kebenaran mahkamah, dengan Zizie Izette di rumah No 12, Jalan TC2B/3 Cemerlang Heights, Taman Melati, Gombak pada 8.50 malam, 16 Disember lalu.

Bung Moktar turut didenda RM1,000 kerana bersubahat dengan Zizie Izette berkahwin tanpa kebenaran Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk.

Beliau membayar denda itu.

Rayuan beliau didengar oleh Ketua Hakim Syarie Selangor Mukhyuddin Ibrahim.

“Setelah melihat rekod rayuan yang dikemukakan sebelum ini adalah teratur, mahkamah putuskan hukuman penjara dipinda kepada denda RM1,000.

“Jika perayu (Bung Moktar) tidak membayar denda tersebut beliau boleh dikenakan hukuman penjara selama satu bulan,” kata beliau ketika membacakan keputusan tersebut.

Kata Mukhyuddin, oleh kerana ini merupakan kesalahan kali pertama dan memandangkan perayu mempunyai tanggungjawab besar kepada keluarga dan masyarakat, beliau percaya jika dikenakan hukuman penjara ia akan menjejaskan tanggungjawab beliau kepada keluarga. “Kemungkinan kesengsaraan yang ditanggung keluarga yang ditanggung boleh mendatangkan kemudaratan.

“Selain itu, reputasi dan imej perayu sebagai Ahli Parlimen akan dipandang negatif oleh masyarakat sekiranya hukuman penjara dikenakan,” kata Mukhyuddin ketika merumuskan keputusan tersebut.

Sebaik sahaja keputusan itu diumumkan kelihatan Bung Mokhtar dan Zizie Izette menitiskan air mata kerana sebak.

Ulasan

Catatan Popular