PEMUDA PAS CABAR RIDHUAN TEE MASUK UMNO

Dewan Pemuda PAS pusat mencabar kolumnis Mingguan Malaysia Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah menyertai Umno jika terus-menerus mahu menuduh parti-parti politik selain komponen Barisan Nasional (BN) tanpa asas dan tidak tentu arah.


“Sekiranya begini kenyataan beliau, Dewan Pemuda PAS mencadangkan agar beliau menyertai Umno dan istiharkan dengan cara terbuka,” kata Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Azman Shapawi Abd Rani dengan merujuk kepada tulisan terbaru dalam Mingguan Malaysia Ahad lalu.

Kata Azman, pihaknya menyifatkan kenyataan Ridhuan tidak mencerminkan tahap pencapaian pendidikan yang beliau perolehi.

“Beliau yang merupakan seorang yang berkelulusan doktor falsafah dan diploma dalam pengajian Islam sepatutnya agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sesuatu kenyataan,” katanya.

Dewan Pemuda PAS merujuk kepada artikel yang ditulis Ridhuan yang bertajuk ‘jangan terlalu berani mencabar’ terbitan Mingguan Malaysia Ahad lalu, yang antara isi kandungannya berbunyi ‘walaupun PAS menuduh Perlembagaan Reid ini perlembagaan kafir kerana kerjanya suka mengkafir, ruang untuk Islam dan pribumi berkembang begitu besar, dengan tidak menafikan hak bukan Islam’.

Tulisan itu juga menggesa mereka yang mempersoalkan hak orang Melayu dan Islam balik ke negara asal masing-masing.

“Ini merupakan satu pertuduhan yang serius yang boleh mencemarkan nama baik PAS sebagai parti yang berjuang menegakkan Islam di bumi Malaysia ini. Atas dasar apa kenyataan ini dikeluarkan?” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Jelas beliau, PAS satu parti yang sejak dari dulu berjuang bukan sahaja atas nama Islam, malah setiap tindak tanduk dan keputusan mestilah berlandaskan al-Quran, hadis, qias dan ijma’ ulama.

“Dalam kuliah-kuliah agama dan ceramah-ceramah, PAS hanya menerangkan batas-batas iman dan kufur sebagai panduan kepada umat Islam agar tidak tergelincir daripada hukum syarak walaupun dalam berpolitik kerana Islam itu syumul dan tidak boleh dipisahkan dari kehidupan dunia.

“Dewan Pemuda PAS mencabar agar dibuktikan individu mana yang pernah PAS kafirkan?” katanya lagi.

Kata beliau, Ridhuan juga seharusnya mempelajari Islam dengan lebih mendalam sebelum menuduh PAS atas tuduhan yang sebegitu rupa.

“Inilah akibat apabila belajar Islam dengan Umno yang memisahkan politik dengan agama yang mengakibatkan ramai yang kabur dengan Islam sebenar termasuk Ridhuan sendiri.

“Dewan Pemuda PAS mendesak beliau agar menarik balik kenyataan tersebut yang dilihat lebih cenderung memburukkan PAS.

“Beliau sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang lebih bersifat tidak menyebelahi mana-mana pihak,” katanya lagi.

Ulasan

  1. Gaya bercakap Riduan Tee ni dah sama dgn mufti Perak....berjangkit kot!!

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan Popular