LAGI TRAGEDI DI PAGI SAHUR

Empat sekeluarga, termasuk seorang wanita dan dua anaknya, cedera disimbah asid dalam kejadian di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu awal pagi semalam.


Che Ku Zainab Che Ku Awang, 29, cedera di bahagian belakang badan manakala anaknya Nurul Dahyatul Fazlina Khalid, 8, dan Mohd Irfan Firdaus, 2, cedera di muka dan tangan.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Supt K.Manoharan berkata turut tercedera dalam kejadian pada 1.45 pagi itu ialah ibu Che Ku Zainab, Minah Omar, 56.

Kesemua mangsa, kecuali Minah yang cedera di lengan dan mata, telah dikejarkan ke Hospital Hulu Terengganu sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahiran (HSNZ) di sini.

Manoharan berkata dua lagi anak Che Ku Zainab iaitu Nurul Afisah Alina, 10 dan Nurul Farisha, 7, yang tidur bersama mangsa, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata polis kini memburu seorang lelaki berumur 32 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, iaitu mendatangkan kecederaan parah.

Sementara itu, Che Ku Zainab ketika ditemui di HSNZ berkata beliau tersedar dari tidur setelah terdengar ketukan di luar tingkap rumahnya dan setelah dibuka, suspek meminta wang daripadanya.

Dia berkata apabila disuruh meninggalkan rumahnya, suspek mula berang dan menendang pintu rumah itu sehingga terkopak sebelum memasuki bilik dengan membawa sebungkus plastik berisi cecair.

Che Ku Zainab berkata dia cuba merampas plastik berkenaan daripada suspek kerana lelaki itu pernah mengugut akan menyimbahnya dengan cuka getah, sehingga menyebabkan kandungan plastik itu terpercik.

Katanya, percikan asid itu terkena dua anaknya dan suspek melarikan diri selepas jiran tiba untuk memberikan bantuan.

Minah yang tinggal berhampiran turut terkena percikan asid ketika pergi ke rumah Che Ku Zainab selepas mendengar bunyi bising dari dalam rumah anaknya itu

Ulasan

Catatan Popular