LAGI KES BUANG BAYI HARI INI

Mayat seorang bayi lelaki dengan kesan lebam di bahagian kepala, mata, pipi kiri dan kanan serta di bahagian belakang badannya ditemui ditinggalkan di atas tempat duduk di sebuah perhentian bas di Batu 8, Jalan Pedas-Linggi dekat sini, pagi ini.


Ketua Polis Daerah Rembau DSP Mizan Md Dom berkata pihak polis menerima maklumat mengenai penemuan bayi itu daripada orang ramai kira-kira pukul 6.05 pagi.

“Polis yang tiba di tempat kejadian menemui mayat bayi lelaki itu yang dianggarkan berumur 10 hingga 12 bulan dan diletakkan di atas tempat duduk pondok menunggu bas. Bayi itu mempunyai ketinggian 0.76 meter dan lengkap berpakaian serta dibaluti kain batik dan tuala mandi,” katanya ketika dihubungi.

Katanya siasatan awal mendapati terdapat kesan lebam di bahagian kepala, mata, pipi kiri dan kanan serta di bahagian belakang.

Katanya bayi yang dijumpai ini dipercayai berbangsa Melayu kerana terdapat kesan cacar di lengan kirinya.

“Polis sedang menyemak dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menyiasat berhubung kelahiran bayi itu. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Tuanku Ja’’afar Seremban untuk bedah siasat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau melalui talian 06-6852222 atau 06-6851999 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Saya juga merayu kepada klinik swasta terdekat agar segera menghubungi pihak polis jika ada memberi rawatan kepada bayi dalam lingkungan 10-12 bulan seperti demam atau pun terjatuh dalam tempoh terdekat,” katanya.

Ulasan

Catatan Popular