ANTI-ISA: 30 DIBEBASKAN PAGI TADI

Kesemua 30 peserta kempena nyalaan lilin anti-ISA yang ditahan oleh polis Petaling Jaya malam tadi telah dibebaskan awal pagi ini.


Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan memberitahu, kesemua mereka dibebaskan kira-kira pukul 4.30 pagi dengan jamin polis.

Beliau yang juga salah seorang daripada ditahan memberitahu bahawa polis akan mengambil masa dua minggu sebelum menentukan sama ada akan mendakwa mereka ataupun tidak.

Sambil menyifatkan penahanan itu salah, Arutchelvan membayangkan mereka tidak akan berdiam diri walaupun ditahan semalam.

“Wakil Suhakam ada di sini (di pekarangan Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya) sewaktu kami keluar. Kami mungkin akan membuat aduan di Suhakam,” kata beliau ketika dihubungi pagi ini.

Malam tadi, polis Petaling Jaya dengan menggunakan anggota Unit Simpanan Persekutuan mengempur dan menahan 30 peserta kempen nyalaan lilin di Padang Timur — program yang diadakan untuk mendesak agar Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan.

Turut ditahan ialah Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) Syed Ibrahim Syed Noh dan ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Badrul Hisham Shaharin — menyertai kempen itu yang dianjurkan sempena lima dekad kerajaan menguatkuasakan ISA.

Daripada 30 orang yang ditahan di Petaling Jaya, 22 adalah lelaki dan lapan perempuan.

Kempen itu bermula pada pukul 8 malam di Padang Timur, serentak di beberapa lokasi di seluruh negara.

Mereka yang ditahan telah dibawa ke IPD Petaling Jaya yang terletak berhampiran dengan Padang Timur kira-kira 9 malam.

Dua lagi ditahan di hadapan IPD Petaling Jaya.

Ketua Penerangan PKR Latheefa Koya ketika ditemui malam tadi memberitahu seramai 18 peguam berada di IPD untuk membantu mereka yang ditahan.

Latheefa yang juga ahli majlis MPPJ menyifatkan polis tidak menghormati kelulusan pihak berkuasa tempatan itu.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed memberitahu bahawa polis terpaksa bertindak menahan individu terbabit selepas mereka enggan mematuhi arahan supaya bersurai selepas perhimpunan bermula seawal pukul 7 malam.

Ulasan

Catatan Popular