PRK Lagi.... YB Lompat lagi... Sistem Usang Yang tidak Relevan
PRU ke - 12 pastinya dikenang dan dinukilkan sebagai PRU paling bersejarah kerana buat pertama kalinya Parti pembangkang berjaya menafikan 2/3 BN di Parlimen, malah PR buat kali pertamanya menawan 5 negeri tidak termasuk Wilayah Persekutuan. Pasca PRU ke - 12 juga mencatatkan sejarah tersendiri, apabila jumlah PRK yang terpaksa diadakan meningkat dari bulan ke bulan.
PRK terpaksa diadakan lantaran kematian dan perletakan jawatan YB yang telah dipilih rakyat. Bermula dengan Kuala Terengganu dan terkini Sibu, berita PRK juga dikhabarkan bertiup kencang di Pahang dan Kedah, namun beritanya masih belum disahkan oleh SPR.
Setiap kali PRK diadakan, SPR mengumumkan perbelanjaan berjuta ringgit terpaksa dikeluarkan untuk menguruskan PRK, tidak terkecuali gula-gula yang berjumlah jutaan ringgit juga dikeluarkan untuk menagih sokongan pengundi. Malah SPR pernah mengeluarkan rasa kecewa dengan tindakan YB meletakkan jawatan kerana ini akan menambah lagi perbelanjaan SPR. Soalnya, kenapa masih mempertahankan sistem usang ini? Sistem " Who first past the post" ini telah terbukti tidak adil dan tidak menunjukkan sokongan sebenar rakyat.
YB Lompat
Pasca PRU ke 12 juga mencatatkan sejarah apabila MP bebas boleh dikatakan begitu ramai dan membentuk front mereka sendiri. Tindakan mereka ini sangatlah tidak jantan kerana mereka bertanding atas tiket parti kemudian atas apa alasan sekalipun tidak mahu bersama parti di dalam Parlimen.
Front bebas tetapi mesra BN ini juga telah menyaksikan Perak jatuh ke tangan BN dan sehingga kini terdapat lagi kes yang masih belum selesai di Perak. Sekali lagi, sistem yang diamalkan di Malaysia menunjukkan kegagalan.
Sistem Proportional representative
Satu sistem yang mengambil kira tahap kepopularan sesebuah parti dan jumlah kerusi di beri berdasarkan jumlah peratusan undi yang diterima oleh sesebuah parti, bukannya berdasarkan pecahan kawasan dan pertandingan satu lawan satu parti bertanding.
Sistem ini telah diamalkan di banyak negara dan terbukti berkesan bagi mengatasi masalah PRK dan YB lompat. Ini kerana, wakil di parlimen atau DUN dipilih oleh parti berdasarkan jumlah peratusan undi yang diterima oleh parti bukannya calon. Andainya ada YB yang ingin melompat, silakan tetapi tempat mereka perlu diserahkan semula kepada parti untuk diisi oleh orang lain.
Penutup
SPR wajar menubuhkan satu badan khas untuk mengkaji sistem baru ini berikutan jumlah PRK yang semakin meningkat dan mungkin akan meningkat lagi sedikit masa lagi. Tidak salah kita mengkaji dan mencapai satu resolusi penambah baikan daripada terus taksub dengan sistem usang peninggalan British yang sememangnya menjadi pengangan dan ikutan UBN selama ini.


Ulasan
Catat Ulasan