MIC dan MCA sokong PAS
MIC dan MCA menyokong tindakan PAS agar pihak polis mengambil tindakan terhadap penganjuran program oleh Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak) esok melalui program “Melayu Bangkit” kerana ia bertentangan dengan semangat keharmonian negara.
PAS mendakwa Gertak memilih tarikh 13 Mei untuk membangkitkan semanagt perkauman dikalangan orang Melayu bagi mengenang peristiwa berdarah 13 Mei 1969.
Hari ini Pemuda PAS Terengganu membuat laporan polis meminta agar langkah Gertak itu disiasat atas alasan ada kecenderungan menghasut dan boleh mengembangkan perasaan jahat dan permusuhan antara kaum.
Selain dikecam PAS semalam, program itu dikritik oleh MCA, komponen Barisan Nasional (BN).
Hari ini satu lagi komponen BN, MIC mengecam penganjuran program sedemikian.
Setiausaha Agung MIC, S. Murugessan berkata MIC sekeras-kerasnya mengecam pertemuan sempena 13 Mei di Terengganu esok.
“Kami melihat tiada manfaat sebenarnya dengan menghasilkan pertemuan sedemikian.
“Sebenarnya, ia akan memberi kesan negatif ke atas usaha diambil ekrajaan untuk mempertingkatkan perpaduan,” kata beliau sambil menambah program sedemikian akan mencetuskan ketegangan memandangkan kemungkinan akan ada pihak lain yang mengambil aktiviti sedemikian pada masa depan.
Semalam Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mengingatkan pemimpin-pemimpin BN agar tidak menghadiri pertemuan 13 Mei di Kuala Terengganu.
Kira-kira 10,000 orang termasuk anggota 45 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dijangka menyertai program Melayu Bangkit untuk membincangkan beberapa isu termasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB), Wawasan 2020 dan perancangan ke arah penyatuan orang Melayu secara khusus.



Ulasan
Catat Ulasan