KENYATAAN MEDIA : SELAMAT HARI GURU

KENYATAAN MEDIA
SELAMAT HARI GURU
(16 Mei 2010/ 02 Jamadil Akhir 1431)

Sempena dengan Hari Guru tahun 2010, Dewan PEMUDA PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua pendidik. Guru adalah pencetus kejayaan umat serta pembina tamadun manusia yang berjaya. Kejayaan kita semua pada hari ini bermula dengan didikan guru yang sabar dan tekun serta ikhlas mendidik anak bangsanya. Tanpa guru, tidak mungkin negara dan rakyat mampu bergerak maju.

Sememangnya profesion sebagai guru adalah sangat mulia dan mencabar. Meskipun berdepan dengan pelbagai kerenah dan tingkah laku pelajar yang pelbagai, ditambah dengan tekanan ibu bapa serta masyarakat sekeliling, para guru terus menuai bakti dan menuang ilmu tanpa jemu. Sama ada mereka diingati atau dilupakan, saban tahun para guru melahirkan sehebat-hebat ulama’, setinggi-tinggi tokoh akademik, para profesional, teknokrat, usahawan, tenaga-tenaga pakar mahir dan lain-lain lagi.

Sesungguhnya sumbangan para pendidik yang bergelar guru tidak boleh dilupakan. Keikhlasan, kesungguhan dan kesabaran mereka wajar diberikan pengiktirafan. Suara dan pandangan mereka perlu perlu dihormati, rungutan dan permintaan mereka perlu didengari, permasalahan mereka perlu diperhati. Inilah tanda penghomatan kita semua terhadap jasa dan pengorbanan para pendidik.

Akhir sekali DPPWP mengharapkan para pendidik terus istiqomah, sabar dan jujur dengan dunia pendidikan. Dunia pendidikan adalah satu perjuangan dan jihad yang besar serta mendapat tempat yang tinggi di sisi Allah SWT, dan hanya guru mampu mempelopori medan ini. Hari Guru perlu diraikan dengan penuh keinsafan dan kesedaran bahawa para guru adalah insan mulia yang wajar dihormati. Selamat Hari Guru.


Disediakan oleh,

MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ
NAIB KETUA
Dewan PEMUDA PAS Wilayah Persekutuan

Ulasan

Catatan Popular