KENYATAAN MEDIA : PENGHARAPAN BUAT KERAJAAN BRITAIN YANG BARU
KENYATAAN MEDIA
PENGHARAPAN BUAT KERAJAAN BRITAIN YANG BARU
13 Mei 2010 / 28 Jamadilakhir 1431
Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Pusat ( LA DPPP) mengucapkan tahniah kepada En. David Cameron diatas perlantikannya sebagai Perdana Menteri Britain yang baru setelah Parti Konservatif pimpinannya berjaya membentuk kerajaan campuran bersama Parti Liberal Democrat pimpinan Nick Clegg.
Bagi pihak LA DPPP, kami berharap Kerajaan Britain yang baru meneruskan dasar-dasar luar yang adil dan saksama terutamanya terhadap negara-negara membangun. LA DPPP juga berharap Britain akan memperbaiki semula kesilapan yang telah dilakukan oleh Perdana Menteri sebelum ini dizaman Parti Buruh terutamanya dasar luarnya terhadap Negara-negara Islam. Tindakan Britain sebelum ini yang mendokong Amerika Syarikat dalam melancarkan perang terhadap Iraq tanpa bukti kukuh dan nyata amatlah dikesali. Juga tindakan Britain yang menyokong Operasi Ketenteraan di Afghanistan juga sangat mendukacitakan umat Islam. Sikap berpura-pura Britain sebelum ini yang memandang sebelah mata terhadap kekejaman dan kezaliman regim zionis Israel terhadap rakyat dan umat Palestin juga merupakan satu manifestasi sokongan tanpa nyata mereka terhadap Israel dengan menidakkan piagam dan keluhuran undang-undang antarabangsa dan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1946 yang ditandatangai oleh semua Negara termasuk Britain. Namun janji En. David Cameron dalam ucapannya yang ingin berdiri sendiri tanpa dibayangi oleh Amerika Syarikat amat dialau-alukan.
Disamping itu, LA DPPP juga berharap Kerajaan baru dibawah David Cameron akan terus memastikan keadilan dan kebebasan beragama diteruskan tanpa sebarang diskriminasi berdasarkan warga kulit dan gender. Kebebasan untuk mengamalkan tuntutan agama juga perlu diperluaskan oleh Kerajaan baru Britain dalam memastikan keharmonian dan keamanan sejagat boleh terus dikecapi oleh rakyat Britain khasnya dan dunia amnya. LA DPPP berharap insiden yang berlaku di Perancis dan Belgium tidak menular ke Britain apabila umat Islam dinafikan hak mereka untuk mengamalkan tuntutan agama seperti bertudung untuk menutup aurat. Isu seperti ini kelihatan sedang membara di Negara-negara Eropah. Namun harapan LA DPPP , Britain akan cuba kekal dalam membuka ruang hak asasinya melalui kebebasan beragama dalam mengamalkan tuntutan agama masing-masing.
LA DPPP juga berharap dasar luar Britain terhadap Asia dan Malaysia juga akan diteruskan dan kekalkan. Rancangan kerajaan Britain untuk mensyaratkan semua pelancong Malaysia mendapatkan visa terlebih dahulu suatu ketika dahulu amat menggusarkan rakyat Malaysia. Semangat Komenwel diantara Malaysia dan Britain sewajarnya dikekalkan. LA DPPP juga berharap kerajaan Britain yang baru boleh merombak kembali polisi kemasukkan pelajar luar ke Britian terutamanya bagi pelajar Malaysia dimana sedikit sebanyak syarat yang sangat ketat dikenakan terutamanya dalam penyediaan visa yang tidak konsisten terhadap pelajar Malaysia mengganggu hasrat ramai rakyat Malaysia untuk meneruskan pembelajaran mereka di Britain. Hubungan pendidikan diantara Britian dan Malaysia yang telah terjalin sejak sekian lama adalah bukti komitmen pendidikan rakyat Malaysia bersama Britain.
LA DPPP ingin mengucapkan tahniah kepada David Cameron dan kabinet yang bakal diumumkan kelak dan berharap hubungan dua-hala antara Britain negara-negara Islam dan Asia dapat diteruskan seadanya.
DR RAJA AHMAD AL-HISS
Pengerusi
Lajnah Antarabangsa DPPPusat


Ulasan
Catat Ulasan