KENYATAAN MEDIA DPPP: HARAPAN KPD SKUAD PIALA THOMAS/UBER

KENYATAAN MEDIA

10 Mei 2010 / 25 Jamadil Awal 1431
HARAPAN KEPADA SKUAD PIALA THOMAS/UBER

Menjelang Kejohanan Piala Thomas/Uber 2010 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur bermula pada 09 Mei ini, Dewan PEMUDA PAS Pusat (DPPP) merasakan sudah sampai masanya Malaysia yang mana selaku tuan rumah bagi kejohanan kali ini membawa pulang piala yang menjadi kemegahan dikalangan peminat badminton bukan sekadar di asia malah di seluruh dunia.

Ini memandangkan sudah terlalu lama rasanya piala itu terlepas dari tangan Pasukan Malaysia yang mana kali terakhir memenanginya ialah pada tahun 1992 juga ketika itu kebetulan Malaysia menjadi tuan rumah. Dengan persediaan yang rapi serta kelengkapan latihan yang bertaraf dunia malah tenaga jurulatih juga dikalangan mereka yang cukup berpengalaman, DPPP melihat hampir tiada alasan untuk tidak membawa pulang piala tersebut balik ke Malaysia. Ditambah dengan kenyataan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Dato’ Mohd. Nadzmi Mohd.Salleh bahawa secara keseluruhannya, daripada segi fizikal dan mental pemain telah bersedia untuk menghadapi kejohanan itu serta semua program memang sudah disusun dan telah membuat persediaan yang terbaik.

DPPP juga ingin mengucapkan selamat berjaya kepada skuad Piala Thomas/Uber yang mana pastinya akan berhadapan dengan tentangan yang sengit terutamanya dari Pasukan China, Indonesia, Korea Selatan dan Denmark. Berusaha bersungguh-sungguh demi memastikan piala yang diidamkan kembali ke dalam genggaman dan seterusnya menjadi bukti kepada dunia yang kita juga berada dikelas yang sukar digugat pada peringkat antarabangsa.

DPPP juga mengharapkan agar seluruh rakyat warga Malaysia dapat memberi sokongan yang padu bagi membangkitkan semangat pemain-pemain negara yang bakal beraksi kelak .

MALAYSIA BOLEH!


Disediakan oleh


HJ NASRUDIN HASSAN AT TANTAWI
KETUA DEWAN PEMUDA PAS PUSAT

Ulasan

Catatan Popular