KENYATAAN MEDIA : DESAKAN SUPAYA MP WM LETAK JAWATAN
KENYATAAN MEDIA
DESAKAN SUPAYA MP WANGSA MAJU MELETAKKAN JAWATAN
(15 Mei 2010/ 01 Jamadil Akhir 1431)
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mendesak Ahli Parlimen Wangsa Maju Wee Choo Keong supaya meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Wangsa Maju selepas bertindak keluar parti semalam.
DPPWP berpendapat Wee Choo Keong telah hilang kepercayaan pengundi, ahli-ahli PKR serta Pakatan Rakyat apabila keluar dari parti. Jawatan sebagai Ahli Parlimen adalah amanah dari parti, pengundi serta petugas Pakatan Rakyat (PR) yang telah bertungkus lumus bekerja bagi memenangkan beliau dalam PRU ke 12 yang lepas.
Alangkah murahnya maruah serta harga diri seorang pemimpin seperti beliau. Dengan sedikit tawaran atau ugutan, beliau mudah berpaling tadah. Lupakah beliau siapakah yang berjuang bersungguh-sungguh menaikkan nama dan diri beliau sehingga mampu memenangi kerusi Parlimen Wangsa Maju?
Sebagai Ahli Parlimen, Wee sepatutnya menjaga kebajikan dan mengambil tahu hal rakyat dan pengundi beliau, bukan sibuk dengan kepentingan peribadi. Beliau seharusnya menunjukkan contoh dan teladan yang baik dengan menunjukkan kredibiliti serta maruah yang tinggi sebagai wakil rakyat. Dalam keadaan parti memerlukan beliau, Pakatan Rakyat (PR) yang sedang diperkukuhkan, tergamak beliau mengambil langkah dengan meninggalkan PR. Tindakan beliau ini telah menghilangkan rasa hormat rakyat kepada beliau serta mengkhianati kepercayaan rakyat.
Justeru, DPPW merasakan tidak wajar Wee masih bergelar Ahli Parlimen Wangsa Maju. Kerusi beliau perlu diserahkan kembali mandatnya kepada rakyat supaya rakyat dapat memilih pemimpin yang benar-benar memperjuangkan aspirasi dan kehendak rakyat.
DPPWP dengan ini mencabar Wee Choo Keong meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Wangsa Maju dan bertanding semula sebagai calon bebas bagi menentukan benarkah beliau masih mempunyai pengaruh dan menang dengan kekuatan beliau sendiri atau kerana kerjas keras semua petugas Pakatan Rakyat!
Disediakan oleh,
MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ
NAIB KETUA
Dewan PEMUDA PAS Wilayah Persekutuan


Ulasan
Catat Ulasan