Mangsa tembakan polis kesal kerajaan enggan bertindak



Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 1 April: Mangsa tembakan polis, Norizan Salleh hari ini hadir ke parlimen bagi sekali lagi menyerahkan satu memorandum kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Serahan yang ke sekian kalinya hari ini ekoran tiada sebarang respons balas daripada kerajaan setelah beberapa memorandum sama diserahkan sejak Januari lalu.

Memorandum tersebut telah diserahkan kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan di Bukit Aman pada 4 Februari lalu dan selepas itu ke Suhakam pada 11 Februari.

Difahamkan, Suhakam bagaimanapun telah memanjangkan perkara tersebut kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat, namun masih tiada sebarang tindakan.

Ekoran itu, beliau kemudian memanjangkan perkara itu kepada Hishammuddin pada 25 Februari di pejabat KDN, Putrajaya, namun gagal.

Dan hari ini beliau sekali lagi hadir ke parlimen bagi tujuan sama.

"Saya datang hari ini untuk mengetahui kenapa saya ditembak pada malam tersebut.

"Sebab sampai sekarang saya tidak tahu sebabnya, dan saya sangat terkejut dengan peristiwa itu," katanya pada sidang media di lobi parlimen hari ini.

Peguam Norizan, N Surendran yang menemani beliau mempertikai tindakan polis yang melepaskan tembakan itu tanpa sebarang alasan yang jelas.

"Mengikut undang-undang Malaysia dan antarabangsa, polis tidak ada hak menembak sesiapa tanpa sebab kecuali kepada individu yang dikesan mengancam keselamatan pihak polis," tegasnya.

Turut dimaklumkan beliau, dua lagi mangsa yang bersama Norizan pada malam itu, telah ditahan polis pada malam yang sama dan diseksa semasa dalam tahanan walaupun kesalahan mereka belum diketahui.

"Saya mendapat maklumat, dua lagi kawan Norizan ditahan pada malam yang sama, dan diseksa dalam lokap. Mereka digantung terbalik, seluruh badan dilumur cili dan dipaksa mengaku terlibat dalam kes rompakan.

Pada malam tersebut, Norizan bersama tiga rakannya, dua lelaki dan seorang perempuan menaiki kereta untuk pulang ke rumah sebelum ditembak polis di Lebuh raya MRR2.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin yang dari awal memperjuangkan isu Norizan sekali lagi menyatakan rasa kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab pihak kerajaan.

"Kami sudah bawa kes ini berkali-kali tanpa tidak ada sebarang tindakan. Pihak Suhakam sendiri telah memanjangkan perkara ini kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun setakat ini belum ada sebarang tindakan diambil.

Sehubungan itu, ujar Ketua Wanita PKR itu, bagi meringankan bebanan yang ditanggung, Kerajaan Negeri Selangor telah menyumbangkan sejumlah RM10,000 untuk Norizan membiayai kos rawatannya.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua pula berkata, pihaknya berharap dapat bertemu dengan Hishammuddin sendiri bagi menyerahkan memorandum itu setelah beberapa pertemuan yang diatur menemui kegagalan.

"Kes ini sangat serius, dan saya kecewa dengan sikap menteri (Hishammuddin) yang tidak mengambil tanggungjawab dan langsung tidak berasa kesal dengan sikapnya itu," katanya.

Turut sama dalam sidang media itu, ibu Norizan, Siti Fatimah Abu, Ahli Parlimen Klang dan Kapar, Charles Santiago dan S Manikavasagam.

Pada awal pagi 30 Oktober 2009, Norizan telah ditembak polis ketika berada dalam kereta dan ditendang sehingga patah dua tulang rusuknya semasa merangkak keluar dari kereta, dengan darah yang mengalir dari tubuhnya.

Sejumlah lima tembakan ditujukan kepadanya, dengan dua tembakan terkena pada lengan dan pergelangan tangan, satu pada dada, di samping dua lagi terlepas tetapi meninggalkan luka.

Norizan yang tidak mampu untuk bekerja selepas tragedi ngeri itu, terpaksa menanggung kos rawatan yang berjumlah kira-kira RM16,000.

Sejurus sidang media berkenaan, memorandum tersebut diserahkan kepada Hishammuddin di pejabatnya di tingkat empat bangunan Parlimen.

Hishammuddin dalam responnya berkata akan menyiasat perkara tersebut.

Ahli parlimen pakatan pula akan membangkitkan perkara tersebut di Dewan Rakyat hari ini.

Ulasan

Catatan Popular