'Sembah Derhaka'

“Dah pukul 7”,bisik hatiku apabila melihat jam di dinding sambil berdiri di antara dapur dan ruang tamu. Maklumlah, sejak ditugaskan jauh dari pusat bandar, adalah menjadi rutin hidupku setiap hari bekerja, pasti balik dalam keadaan terkejar-kejar. ”Tak payah masak dulu la mie, tak dan nak makan. Takut lambat” kataku kepada isteri tercinta yang sibuk di dapur sambil bergegas mencapai tuala untuk mandi memandangkan kuliah maghrib malam ni ‘special’ sikit di Surau Tmn.Permata.

“Alamak,dah azan. Tak ‘celuih’ ke saf depan ni”, hatiku berbisik sambil memecut motor Kriss yang banyak berjasa padaku dan jemaah. Benar telahanku, jemaah sudah memenuhi ruang utama surau dan kebanyakkan jemaah sedang menunaikan Sunat Qabliah Maghrib.Dengan mengambil sikap mementingkan diri, aku teruskan langkah menuju ke saf hadapan tanpa mempedulikan jemaah lain yang rasa-rasanya memerhatikan aku. Sambil berdiri menantikan iqamah, mataku liar memerhatikan jemaah lain.

Tiba-tiba mataku tertangkap pada seseorang yang nampak asing bagi jemaah Surau Tmn.Permata. Siap bersongkok, berbaju melayu hijau muda lagi. Lihat dari belakang macam ku kenal. Lama gak la dok memerhati sambil mengamati siapa dia si baju hijau tu. Laaa…Ir Hj.Nizar, MB Perak yang sah rupanya.


Tenang dalam menuturkan kata-kata

Malam itu Program Ceramah Khas Penerangan Isu-Isu Semasa yang berlaku di Perak termasuklah isu derhaka yang dimainkan oleh UMNO dan BN. Dengan memetik ayat-ayat Al-Quran daripada Surah Al Fajr :-

أَلَمۡ تَرَ كَيۡفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِعَادٍ (٦) إِرَمَ ذَاتِ ٱلۡعِمَادِ (٧) ٱلَّتِى لَمۡ يُخۡلَقۡ مِثۡلُهَا فِى ٱلۡبِلَـٰدِ (٨) وَثَمُودَ ٱلَّذِينَ جَابُواْ ٱلصَّخۡرَ بِٱلۡوَادِ (٩) وَفِرۡعَوۡنَ ذِى ٱلۡأَوۡتَادِ (١٠) ٱلَّذِينَ طَغَوۡاْ فِى ٱلۡبِلَـٰدِ (١١) فَأَكۡثَرُواْ فِيہَا ٱلۡفَسَادَ (١٢) فَصَبَّ عَلَيۡهِمۡ رَبُّكَ سَوۡطَ عَذَابٍ (١٣) إِنَّ رَبَّكَ لَبِٱلۡمِرۡصَادِ (١٤

6. (Kami tetap akan membinasakan orang-orang Yang menentangmu Wahai Muhammad), tidakkah Engkau perhatikan, Bagaimana Tuhanmu telah melakukan terhadap kaum Aad (yang kufur derhaka)
7. Iaitu penduduk "Iram" Yang mempunyai bangunan-bangunan Yang tinggi tiangnya, (sesuai Dengan penduduknya)
8. Yang belum pernah diciptakan sepertinya (tentang besar dan kukuhnya) di Segala negeri (pada zamannya)?
9. Dan (terhadap) kaum Thamud Yang memahat batu-batu besar di lembah (Wadil-Qura Iaitu tempat tinggalnya)?
10. Dan (terhadap) Firaun Yang Menguasai bangunan-bangunan Yang handal kukuh?
11. (semuanya itu ialah) orang-orang Yang telah bermaharajalela di negeri (masing-masing).
12. Lalu mereka melakukan Dengan banyaknya kerosakan dan bencana di negeri-negeri itu.
13. Dengan Yang demikian, Tuhanmu mencurahkan ke atas mereka berbagai paluan azab;
14. Sesungguhnya Tuhanmu tetap mengawas dan membalas, (terutama balasan akhirat)

Berhujah dengan penuh yakin


YB menyusun kata dengan penuh yakin. Iya la, kalau kita benar nak takut apa. Dihujahnya ayat diatas satu persatu. Kagum aku melihat beliau. Seorang ‘Ir’ tapi bila digarap dengan acuan Islam, Masyallah hebat. Berbanding mereka yang memang mengambil jurusan agama, bahkan mengaji pun ‘sebelah kubur Firaun’ (istilah DPPWM bagi mereka yang menuntut di Mesir) tapi bila balik Malaysia, demi kerana pangkat dan upah, sanggup lawan Islam dan tok guru.

Masa berlalu cukup pantas. Jam menunjukkan pukul 09.00 mlm. Jemaah mula melimpah sehingga ke luar. Masing-masing tidak mahu melapaskan peluang mendengar penerangan yang diberikan oleh YB kerana ada yang sebelum ini masih terpinga-pinga tentang apa yang berlaku di negeri Perak walaupun ada yang mengaku itu kampung halaman mereka namun disebabkan sifat keji yang ada pada UMNO dan BN yang memonopoli media perdana, mereka menjadi ‘buta’.

Penerangan yang cukup ‘detail’ diberikan oleh YB tanpa nada yang tersekat membuktikan keyakinan bahawa beliau di pihak yang benar. Hujah yang diberikan dari asas Al Quran hingga ke otak bodoh manusia yang lemah ini cukup hebat dan sukar disangkal. Barangkali juga kalau ada la ahli UMNO pada malam itu, rasanya mesti minta Borang Keahlian PAS malam itu juga.

Kehadiran jemaah yang melimpah


Tepat pada pukul 09.30 malam, beliau menghentikan ceramah ketika para jemaah seolah-olah mahu beliau terus menyambung penjelasannya. Kalau di zaman jahilliyah dulu, ketika berada di tengah-tengah lautan manusia menyaksikan Konsert Wings di Bandar Melaka, pasti dah ada yang menjerit “We want more” berulang kali. Tapi apa kan daya, YB perlu bergegas pulang ke Ipoh kerana esok pagi ada urusan yang perlu diselesaikan.

Sayu rasa hati melihat beliau melangkah keluar selepas bersalaman dengan para jemaah (termasuk saya). Betapa ‘zuhud’nya beliau. Sanggup tinggalkan pendapatan yang jauh lebih tinggi daripada gaji dan elaun Menteri Besar Perak tapi dek kerana tarbiyah dan amanah, beliau tinggalkan begitu sahaja. Dalam hati kecil ku berbisik, cekal sungguh hati YB. Kalau aku la…hey….tak tahu nak kata. Mungkin lama dah ‘futur’. Kemudian kami semua berjemaah menunaikan Solat Isyak.

Tapi itu 2 bulan yang lepas. Ketika itu YB baru memenangi kerusi Parlimen Bukit Gantang. Sekarang ni situasi Perak semakin rumit. Berbagai peristiwa yang berlaku. Bermula dengan Sidang DUN yang kelam kabut, ditunjukkan pula bagaimana UMNO dan BN menjadikan dewan tempat bersidang seperti sarkas yang mana badutnya terdiri daripada ADUN-ADUN BN dan haiwan sarkasnya terdiri daripada petugas-petugas yang sepatutnya menjaga keselamatan awam tetapi hakikatnya hanya menjaga keselamatan BN. Kemudian kita lihat pula mahkamah menjadi wayang kulit pada tangan-tangan pak karut UMNO yang mempunyai kuasa. Sampai sekarang kemelut di Perak masih belum selesai. Kasihan melihatkan boneka-boneka UMNO. Sampai bila mereka boleh menipu rakyat? Apa puak-puak UMNO ini tidak takutkah kepada Allah swt.? Tapi payah sebenarnya nak cerita akhirat dengan puak-puak sekular ni.

Walau bagaimana pun saya percaya Allah swt tetap bersama-sama orang-orang yang sabar seperti mana dalam firman Allah swt di dalam Surah Ali Imran :-.

إِن تَمۡسَسۡكُمۡ حَسَنَةٌ۬ تَسُؤۡهُمۡ وَإِن تُصِبۡكُمۡ سَيِّئَةٌ۬ يَفۡرَحُواْ بِهَا‌ۖ وَإِن تَصۡبِرُواْ وَتَتَّقُواْ لَا يَضُرُّڪُمۡ كَيۡدُهُمۡ شَيۡـًٔا‌ۗ إِنَّ ٱللَّهَ بِمَا يَعۡمَلُونَ مُحِيطٌ۬ (١٢٠

120. Kalau kamu beroleh kebaikan (kemakmuran dan kemenangan, maka Yang demikian) menyakitkan hati mereka; dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya. dan kalau kamu sabar dan bertaqwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikitpun. Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuannya akan apa Yang mereka lakukan.

Yang zalim pasti akan terhapus seperti mana pengajaran daripada ayat-ayat yang YB bacakan semasa mulakan ceramah beliau tadi. Dan yang pastinya penawar bagi isu Perak ini hanya satu buat masa ini iaitu ‘BUBAR DUN’.

Wallahualam

Ulasan

Catatan Popular